JOHOR BAHRU: Lima individu termasuk tiga penjawat awam ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kes mengemuka dokumen palsu dalam tuntutan bayaran bekalan lembu betina daripada sebuah badan berkanun kira-kira RM400,000.
Majistret Segamat, Rahimah Abd. Majid membenarkan kesemua suspek direman shingga 15 September ini selepas menerima permohonan daripara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.
Semalam sumber memaklumkan, kelima-lima suspek yang terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki berusia dalam lingkungan 30 hingga 60-an ditahan secara berasingan ketika hadir memberi keterangan di SPRM Segamat antara pukul 11 pagi hingga 2 petang.
“Berdasarkan siasatan awal kesemua suspek disyaki bersubahat dengan memperakukan dan mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan bayaran bekalan lembu betina kepada dua buah badan berkanun di negeri Johor yang berjumlah kira-kira RM400,000, sedangkan pembekalan tersebut tidak dilakukan.
“Kesemua suspek yang juga terdiri daripada seorang pemilik dan pengurus syarikat dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Februari 2023,” katanya.
Kes disiasat di bawah Sekyen 18 Akta SPRM 2009. – Majestic
