JOHOR BAHRU: Sekumpulan penuntut Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mencuri tumpuan apabila menghasilkan animasi pendek berjudul ‘LULU’, yang dipertandingkan dalam Program Digital Content Entrepreneur (DICE) 3.0 di Persada Johor, di sini.
Menurut Ketua Projek, Ericca JC Lawrance, penyertaan dalam pertandingan tersebut menjadi pengalaman amat bermakna bagi mereka.
“Kami mahu membuktikan bahawa karya pelajar universiti tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Animasi ‘LULU’ ialah simbol keberanian untuk bermimpi besar dan terus melangkah jauh,” katanya.
Animasi ‘LULU’ mengetengahkan kisah seekor arnab Malaysia yang berani mengembara ke angkasa lepas menaiki kereta angkasanya.
Dalam pengembaraan itu, LULU menjelajah galaksi, bertemu rakan-rakan baharu dari planet berbeza dan menemui sahabat istimewa.
Animasi ini menyampaikan mesej tentang persahabatan, keberanian serta semangat mencabar diri untuk keluar dari zon selesa.
DICE 3.0 merupakan kesinambungan daripada program DICE yang mula dipertandingkan di peringkat nasional pada tahun 2022.
Program ini menyediakan latihan serta ruang pertandingan projek kandungan kreatif yang melibatkan penyertaan daripada institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, termasuk peserta antarabangsa.
Tahun ini, seramai 320 peserta terdiri daripada pelajar dan pensyarah IPT seluruh negara serta jemputan khas dari Indonesia, Thailand dan Brunei mempersembahkan 64 projek kandungan digital kreatif.
Antara kategori yang dipertandingkan termasuk animasi pendek, filem pendek, aplikasi interaktif media (VR/AR), dan aplikasi permainan digital. – Majestic
