KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing selepas diumum menang tanpa bertanding bagi sesi 2025/2027 sempena Muktamar Tahunan Pas ke-71.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat (JKPP), Wan Rohimi Wan Daud berkata, pengesahan itu dibuat selepas semua jawapan tawaran pencalonan diterima dan diteliti oleh jawatankuasa berkenaan yang bersidang pada 2 September lalu.
Turut menang tanpa bertanding ialah Hussin Ismail sebagai Pengerusi Tetap, Kamal Shaari sebagai Timbalan Pengerusi Tetap selain tiga Naib Presiden iaitu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Idris Ahmad dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Amar Abdullah.
“Bagi jawatankuasa kerja Pas Pusat pula, sebanyak 38 calon diterima manakala lapan calon menolak pencalonan sekaligus menyaksikan pertandingan di peringkat itu,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Wan Rohimi berkata, semua jawatan dalam Dewan Ulama Pas Pusat sesi 2025/2027 diumumkan menang tanpa bertanding termasuk penyandangnya, Datuk Ahmad Yahaya.
“Untuk Dewan Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden disahkan menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua manakala Dewan Muslimat pula akan diterajui Nuridah Salleh yang turut menang tanpa bertanding,” jelas beliau lagi.
Menurut Wan Rohimi, hanya pemilihan bagi Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan berlangsung pada muktamar kali ini manakala Dewan Ulama tidak mengadakan sebarang pemilihan.
Muktamar Pas kali ke-71 dijadual berlangsung pertengahan bulan ini. – MalaysiaGazette
