Skuad Nafuzi tewas 0-1

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara membuka kempen Kelayakan Piala Asia 2026 dengan langkah kiri selepas tewas tipis 0-1 di tangan Lubnan pada aksi pertama Kumpulan F di Stadium Thammasat, sebentar tadi.

Meskipun tampak lebih menguasai permainan, anak buah Nafuzi Zain terpaksa akur selepas rembatan kencang Ali El Fadl pada minit ke-83 menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan.

Separuh masa pertama menyaksikan skuad negara tampak lebih banyak menguasai permainan dengan mengatur beberapa serangan namun tidak cukup untuk membolosi gawang Lubnan.

Penguasaan yang dimiliki skuad negara tidak dapat diterjemah kepada gol sekali gus memaksa babak pertama berakhir dengan seimbang tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus menggandakan asakan tetapi pertahanan Lubnan begitu berdisiplin untuk menutup ruang buat Malaysia mendapatkan gol pembukaan.

Lubnan mendapat peluang menerusi sepakan percuma pada minit ke-75 tetapi tandukan Hasan Farhat melambung tinggi selepas diasak penjaga gol negara, Zulhilmi Sharani.

Gerakan menerusi Ali Kassas daripada sebelah sayap kiri Lubnan berjaya melepasi kawalan pertahanan negara sebelum hantarannya menemui El Fadl yang menyudahkannya untuk gol kemenangan Lubnan.

Hanya juara kumpulan dan empat naib juara serta tuan rumah, Arab Saudi akan mengesahkan slot ke pusingan akhir.

Sebagai rekod, skuad B-23 berjaya layak dalam tiga edisi Piala Asia iaitu pada edisi 2018, 2022 dan 2024 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke suku akhir edisi 2018.

Selepas ini, skuad negara akan berdepan Mongolia pada Sabtu sebelum menutup kempen kelayakan menentang tuan rumah, Thailand pada 9 September. – BH

More From Author

Penuntut UNIMAS tampilkan inovasi aplikasi AR

LPG: 5 warga Indonesia dijel 15 bulan