JOHOR BAHRU: Gegaran gempa bumi lemah dikesan berlaku di Segamat, pagi ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata gegaran berkenaan dikesan pada jam 6.13 pagi.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Johor menasihati orang ramai supaya menjauhi struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.
Katanya, beliau telah berhubung dengan Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi, dan dimaklumkan bahawa tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan, setakat ini.
“Kerajaan Johor sedang memantau keadaan ini dengan teliti bersama agensi berkaitan. Nasihat saya kepada rakyat, jauhi struktur-struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.
“Pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan terus membuat pemantauan rapi dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.
Onn Hafiz sekali gus mengajak rakyat sama-sama berdoa agar Johor dan seluruh negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, dalam hantarannya pula berkata METMalaysia telah mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian gempa bumi itu.
Berdasarkan data direkodkan, katanya, gegaran itu berkekuatan 4.1 magnitud di daerah berkenaan yang jaraknya terletak kira-kira 180 kilometer dari ibu negeri.
Beliau berkata, gegaran berkenaan turut dirasai di kebanyakan kawasan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.
“Jabatan Meteorologi akan membuat pemantauan lanjut dan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya. – BERNAMA