LONDON: Penyerang Viktor Gyokeres memperkenalkan dirinya kepada penyokong Arsenal dengan dua gol ketika menang besar 5-0 ke atas Leeds pada aksi Liga Perdana Inggeris bagi penampilan sulungnya di laman sendiri, dengan jaringan pertamanya mengingatkan ramai kepada legenda nombor 14 terdahulu, Thierry Henry.
Selepas permulaan agak gugup, pemain berusia 27 tahun itu menghidupkan suasana di Emirates pada minit ke-48, menyelinap dari sebelah kiri seperti Henry di zaman kegemilangannya sebelum melakukan rembatan leret yang menerjah jaring dan meraikannya dengan penuh bergaya.
Namun berbeza dengan bekas bintang Perancis yang penuh elegan, Gyokeres menggunakan kelebihan fizikal dan kuasa lariannya, memberikan bayangan mengenai apa yang boleh dijangkakan selepas ketibaannya dari Sporting Lisbon musim panas ini.
“Saya selesa bila bola dihantar ke belakang pertahanan, terutamanya di sebelah kiri, kemudian memotong ke dalam. Saya tahu saya akan manfaatkan peluang jika dalam situasi itu. Ia gol yang bagus untuk bermula,” kata penyerang Sweden itu secara merendah diri kepada Sky Sports.
Dia kemudian menambah satu lagi gol menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan babak kedua menjadikannya dua gol dalam dua perlawanan EPL buat The Gunners, yang kini mengharapkan sentuhan penyudahnya bagi menamatkan penantian panjang selepas tiga musim berturut-turut berakhir di tangga kedua.
“Viktor begitu kuat dan bertekad dalam setiap aksinya dan anda boleh lihat bila dia ada ruang, dia mampu menyerang pertahanan lawan,” ujar pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
Tanpa pramusim penuh bersama kelab baharunya, Gyokeres kelihatan gugup dan kurang serasi dalam dua aksi awal, namun sebaik sahaja gol pertamanya hadir, dia lebih tenang dan mula serasi dengan rakan sepasukan.
“Penting untuk saya dapat bermain 90 minit, mendapatkan rentak dan lebih mengenali pasukan menerusi perlawanan ini,” katanya.
“Saya rasa lebih selesa dengan cara permainan kami dan saya fikir anda semua pun boleh nampak.”
Begitu juga kelab lain dalam liga, yang kini pasti memberi perhatian kepada ancaman baharu Arsenal itu sepanjang musim.
“Kami bermula dengan baik – dua kemenangan, dua aksi tidak dibolosi dan banyak gol. Saya rasa kami berada di landasan yang betul, tetapi masih boleh menjadi lebih baik dan terus meningkat,” kata Gyokeres, memberi isyarat dia bersedia menyahut cabaran. – REUTERS
