PUTRAJAYA: Mahkamah Sesyen di sini, menetapkan 19 September depan untuk sebutan semula kes penyanyi, Naim Daniel, yang didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel pada Mei lalu.
Hakim Datin M Kunasundary menetapkan tarikh itu pada prosiding tertutup ketika kes berkenaan disebut di hadapannya hari ini.
Naim Daniel atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, pada jam 8.56 pagi 19 Mei lalu.
Pada 17 Jun lalu, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin, manakala Naim Daniel diwakili peguam, Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique, Mohd Irwan Sumadi dan Datuk Amirul Ridzuan Hanif.
– BERNAMA
