JOHOR BAHRU: Suatu ketika dahulu dia sanggup melakukan banyak pekerjaan untuk menyara keluarga.
Malah, Engku Abdul Hadi Engku Abdul Aziz, 54, tidak pernah mengeluh walaupu terpaksa menjadi pemandu lori dan pada yang sama memjadi penjual kereta serta mengambil upah menghantar barangan serta membantu menyelesaikan urusan melibatkan pelbagai agensi dan jabatan yang diperlukan pelanggannya.
Malah, bapa kepada lima anak berusia 13 hingga 26 tahun itu juga aktif bersukan dan sentiasa menjadi pemakanan dan kesihatannya.
Namun, sejak tiga tahun lalu, dia diuji dengan masalah kesihatan apabila disahkan menghidap kanser usus dan keadaannya kini kian parah serta disahkan pada tahap empat.
Pada mulanya, dia hanya menyangka mengalami gastik, apabila perutnya sering terasa ‘kembung’ dan banyak angin.
Namun, apabila sering ‘diserang’ keadaan itu, dia nekad menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang.
Ibarat ‘dilemparkan’ bom, dia menjadi tidak keruan apabila dimaklumkan menghidapi kanser usus tahap dua.
Namun, sebagai ketua keluarga, Engku Abdul Hadi tetap kuat dan mengambil keputusan menjalani pembedahan seperti saranan doktor.
Disangka panas hingga ke petang, namun hujan pada tengah hari apbila tidak lama kemudian, penyakit kanser itu menyerang lagi dan kali ini lebih ganas.
Justeru, sejak setahun lalu Engku Abdul Hadi kian lemah dan banyak terlantar, malah untuk bangun dan berjalan terpaksa dipapah oleh isterinya,
Noor Hayaty Hashim, 47, dan anak-anak.
“Hingga kini dia sudah selesai menjalani rawatan lapan kali kimoterapi dan 10 kali radioterapi di sebuah hospital swasta di sini. Mujur dia ada insurans, kalau tiada mana kami nak cari duit untuk bayar kos rawatan itu, sedangkan saya pun tak kerja, suri rumah sepenuh masa,” kata Noor Hayaty ketika ditemui di rumahnya di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, dekat sini.
Bagi membayar ansuran bulanan rumah sebanyak RM1,000, belanja keperluan harian dan persekolahan anak-anak, Noor Hayaty mengakui kini berjimat menggunakan wang simpanan dan sumbangan saudara-mara dan orang ramai yang simpati dengan kesukaran hidup mereka.
“Anak sulung belajar pada tahun akhir di Universiti Al-Azhar, Mesir. Alhamdulillah, anak kedua kini bekerja di sebuah pasar raya mini berhampiran rumah, manakala anak ketiga, keempat dan bongsu masih sekolah,” katanya.
Dia mengakui setakat ini tidak menerima sebarang bantuan, namun pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) baru beberapa hari lalu datang menziarahi mereka.
Penderitaan Engku Abdul Hadir dan kesukaran hidup keluarganya mendapat perhatian Econsave Cash & Carry (Econsave) yang menyumpang pelbagai keperluan asas bernilai RM1,000.
Barangan keperluan harian termasuk lampin pakai buang dan susu khas diserahkan oleh Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam.
Orang ramai yang bersimpati dan ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank Noor Hayaty bernombor 151016944472 atau menghubungi talian 019-5477222. – Majestic
