Anggota polis maut dirempuh penjenayah

ALOR SETAR: Seorang anggota polis maut dirempuh penjenayah ketika menjalankan tugas berhampiran Taman Golf di sini, petang tadi selepas cuba menghalang suspek kes pecah rumah melarikan diri.

Mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar kenderaan dipandu suspek.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang selepas pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai aktiviti mencurigakan di rumah terbabit.

“Lima anggota dari JSJ Kedah digerakkan ke lokasi dengan dua kenderaan dan sebaik tiba di situ, mereka mendapati suspek sedang cuba mencuri peti besi dari rumah berkenaan.

“Salah seorang suspek yang memandu Lexus bertindak melanggar mangsa yang baru keluar dari kenderaan.

“Mangsa dirempuh dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di lokasi hari ini.

Adzli berkata, seorang daripada suspek berjaya ditahan di tempat kejadian manakala tiga lagi melarikan diri menggunakan kenderaan sama, yang mengalami kerosakan akibat pelanggaran itu.

Katanya, ketiga-tiga mereka berjaya diberkas kurang sejam kemudian di kawasan Kepala Batas, Jitra.

“Dalam cubaan melarikan diri itu, kumpulan terbabit turut mencuri sebuah lagi kenderaan orang awam.

“Kesemua suspek, berusia antara 24 hingga 26 tahun, dipercayai berasal dari Johor.

“Semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai 77 rekod lampau, kebanyakannya membabitkan kes pecah rumah dan curi kenderaan,” katanya.

Menurutnya lagi, dua lagi masing-masing mempunyai 30 serta enam rekod lampau, manakala seorang lagi mempunyai dua rekod.

Katanya, modus operandi mereka menunjukkan ia kumpulan pecah rumah bergerak antara negeri. – BH

More From Author

Ibu Zara beri keterangan lebih 4 jam kepada polis

RUU Pekerja Gig dibentang di Dewan Rakyat minggu depan