KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar yang dikaitkan dengan dakwaan insiden buli di sebuah sekolah di Papar pada 16 Julai lalu, dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, bagi membantu siasatan kes kematian anaknya.
Proses memberi keterangan berlangsung lebih empat jam, dengan Noraidah Lamat, memberi kerjasama penuh sepanjang proses itu dijalankan pegawai penyiasat.
Peguam mewakili keluarga berkata, walaupun proses memakan masa lama, pihak polis memberikan ruang kepada Noraidah untuk berehat selepas selesai diambil keterangan sebelum beliau hadir ke Balai Polis Karamunsing ini.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan beliau memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Ini salah satu proses penting dalam usaha melengkapkan siasatan semula kes ini,” katanya ketika ditemui media di luar perkarangan Balai Polis Karamunsing, di sini, petang ini.
Hamid berkata, siasatan kini diteruskan selepas kertas siasatan dikembalikan Jabatan Peguam Negara kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Beliau juga menggesa orang ramai menghentikan penyebaran spekulasi liar dan teori tidak berasas di media sosial yang hanya memburukkan keadaan.
“Noraidah kini dalam keadaan sangat tertekan. Sebagai ibu yang kehilangan anak, dia perlukan ruang, doa dan sokongan, bukan serangan atau tekanan emosi tambahan,” katanya.
Beliau turut menyatakan keluarga bersedia bekerjasama sepenuhnya jika diminta memberikan bukti lain oleh pihak berkuasa.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara menyerahkan semula laporan penuh siasatan awal kes kematian Zara kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan siasatan.
Pengembalian laporan itu berserta arahan berhubung beberapa perkara untuk dilengkapkan adalah antara empat perkara yang dipohon peguam keluarga Zara dalam surat bertarikh 5 Ogos lalu kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Tiga lagi perkara diminta ialah memohon penyiasatan dilakukan pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman, penggalian semula kubur Zara supaya satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian dan meminta inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara.
Pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar itu ditemui di bawah bangunan asrama dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan berkenaan pada 16 Julai lalu, sebelum dilaporkan meninggal dunia sehari kemudian.
Insiden itu turut dikaitkan dengan kemungkinan berlaku unsur buli terhadap arwah Zara dan ia antara perkara disiasat pihak polis seperti dinyatakan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, sebelum ini. – BH
