KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berikrar mempertahankan kebebasan badan kehakiman serta melindungi institusi tersebut dengan seluruh jiwa dan raga.
Beliau mengakui pengalaman lampau merangkumi ketiga-tiga cabang kerajaan termasuk latar belakang politiknya, namun menegaskan perkara itu tidak akan menjejaskan komitmen sebagai Ketua Hakim Negara.
“Saya tidak dapat memadam sejarah saya, sama ada berkaitan politik atau sebaliknya tetapi apabila saya memikul amanah yang paling berat ini dan selagi saya menduduki kerusi ini, saya memberi janji tanpa syarat.
“Atas nama pencipta saya, saya akan mempertahankan dan melindungi kebebasan badan kehakiman dengan sepenuh jiwa raga,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada majlis penghargaan sempena pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, hari ini.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Farid mengajak semua hakim, pegawai kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Badan Peguam Malaysia, Persatuan Undang-undang Sabah, Persatuan Peguam Bela Sarawak serta semua pihak berkepentingan untuk bersama membina sistem kehakiman yang bebas, berdaya tahan, cekap, berilmu dan mudah diakses.
“Sekarang marilah kita menoleh ke hadapan, membina masa depan badan kehakiman yang bebas, berdaya tahan, cekap, berilmu dan mudah diakses.
“Marilah kita lakukan ini demi negara tercinta,” katanya lagi.
Wan Ahmad Farid dilantik Ketua Hakim Negara ke-17 bagi menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lalu.
Pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. – BH
