KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil maklum kenyataan media Pejabat Perdana Menteri (PMO) agar siasatan dijalankan berhubung satu dakwaan yang telah dinafikan Ahli Parlimen Pagoh.
Sehubungan itu, MCMC akan mengambil tindakan segera dan sewajarnya berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.
“MCMC mengingatkan orang ramai untuk tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan MCMC untuk menyiasat berkenaan isu yang terpalit dengan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada masa sama, PMO memberitahu, Anwar turut mengarahkan supaya tindakan sewajarnya diambil berkaitan kes yang menjadi perhatian ramai itu.
“Pejabat Perdana Menteri mengambil maklum kenyataan penafian oleh YB Ahli Parlimen Pagoh terkait dakwaan mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Muhyiddin menafikan beliau pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang membawa maksud mempertahankan hak warga asing dalam penyasaran subsidi RON95.
Dalam satu perkongsian di laman media sosialnya, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Perikatan Nasional konsisten sejak dahulu bahawa manfaat pelaksanaan subsidi harus diberikan keutamaan terhadap kepentingan rakyat.
Justeru Muhyiddin menggesa Anwar untuk membuktikan bahawa beliau pernah membuat kenyataan seperti itu, atau membuat permohonan maaf. – Majestic
