JOHOR BAHRU: Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dengan kerjasama pasar raya Econsave Cash & Carry akan membina sebuah Sekolah Malaysia dengan kos RM500,000 di tapak sebuah kem pelarian di daerah Pulicharkhi, Kabul, Afghanistan.
Sekolah yang terletak kira-kira 30 kilometer ke timur Kabul itu menjadikan empat buah pusat pengajian khusus untuk anak-anak pelarian yang dibina di negara konflik oleh MyCare dan Econsave menerusi sumbangan rakyat negara ini selepas Sekolah Malaysia di Gaza, Syria dan Yaman setakat ini.
Penasihat MyCare Johor, Dr. Mohd. Zin Kandar berkata, sekolah berkenaan yang bakal menyediakan kemudahan pembelajaran kepada lebih 200 murid itu akan dibina di tapak Masjid Hazrat Osman Ghany di Pulicharkhi sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan bangunan dua tingkat di sekolah berkenaan akan bermula pada bila-bila masa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh enam bulan atau awal tahun depan.
“Kita bersyukur kerana berjaya membina sebuah lagi sekolah atau madrasah dan kejayaan ini adalah hasil sumbangan daripada rakyat Malaysia,” katanya selepas Majlis Perletakan Batu Asas Pembinaan Sekolah Malaysia MyCare-Econsave di pekarangan Masjid Hazrat Osman Ghany di Pulicharkhi, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam, Mufti Daerah Pulicharkhi, Sheikh Naim Al Hassan.

Kem Pulicharkhi adalah antara kem pelarian terbesar di Afghanistan yang menempatkan kira-kira 14,000 keluarga mangsa perang yang melarikan diri dari daerah-daerah berhampiran selepas kediaman mereka musnah dalam serangan tentera penceroboh Rusia dan Amerika Syarikat serta sekutunya dalam konflik yang berlarutan di Afghanistan sejak lebih 20 tahun lalu.
Mas Imran pula berkata, sumbangan rakyat Malaysia itu dikutip menerusi tabung-tabung derma yang diletakkan di lebih 100 pasar raya besar Econsave di seluruh negara sejak empat tahun lalu.
“Sebagai rakan strategik MyCare, Econsave sentiasa berusaha mengutip seberapa banyak sumbangan daripada rakyat untuk disalurkan kepada saudara-saudara kita di negara-negara yang sedang dilanda konflik,” katanya.
Beliau berkata, Econsave dan MyCare menyasarkan untuk mengutip sumbangan sebanyak RM4 juta bagi pembinaan Sekolah Malaysia di negara-negara yang dilanda konflik dan peperangan.
Setakat ini, kira-kira RM3 juta daripada jumlah kutipan itu telah digunakan untuk pembinaan Sekolah Malaysia di Gaza, Syria, Yaman dan Afghanistan.
Justeru, beliau menyeru rakyat supaya terus menghulurkan sumbangan menerusi tabung derma yang disediakan di semua pasar raya Econsave. – Majestic
