Siram cuka putih 30 saat boleh legakan sengatan ubur-ubur – Public Health Malaysia

KUALA LUMPUR: Menyiram cuka putih selama 30 saat boleh membantu terutama dalam melumpuhkan sel penyengat ubur-ubur, sekiranya terkena sengatan haiwan itu.

Fakta itu dikongsi melalui Facebook Public Health Malaysia susulan kejadian 40 peserta acara renang laut di pantai Teluk Senangin di Perak yang dilapor cedera ringan akibat sengatan ubur-ubur.

“Cuka bukan sekadar petua lama. Ia melumpuhkan sel penyengat (nematocyst) yang belum melepaskan racun.

“Kalau disiram dengan air tawar atau digosok, sel ini boleh meletus dan racun akan masuk lebih dalam,” menurut perkongsian itu.

Sehubungan itu Public Health Malaysia menasihatkan orang awam yang selalu ke pantai untuk menyimpan sebotol cuka putih dalam beg kecemasan.

“(Cuka putih) kecil, murah, tapi boleh menyelamatkan nyawa,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya ubur-ubur mungkin kelihatan lembut, tetapi sengatannya boleh menyebabkan badan melecur.

Malah, dalam kes serius boleh menyebabkan gejala sesak nafas, selain dalam kes tertentu boleh membawa maut.

Justeru, sekiranya disengat ubur-ubur, keluar dari air dan tenangkan diri, serta jangan sesekali menggosok gosok kawasan yang disengat itu.

“Siram dengan cuka putih (lima peratus) selama 30 saat, buang tentakel dengan penyepit dan bukan tangan kosong, sebelum rendam dalam air suam dan dapatkan rawatan segera,” katanya.

Dalam kejadian semalam, sekurang-kurangnya 40 peserta majoritinya kanak-kanak berusia lingkungan 11 hingga 15 tahun disahkan disengat ubur-ubur.

Mereka adalah peserta pertandingan renang Teluk Senangin Openwater Swim 2025 yang turut disertai anakanda Sultan Perak, Sultan Nazrn Muizzuddin Shah iaitu Raja Kecil Besar, Raja Azlan Muzzaffar Shah.

Public Health Malaysia juga mengingatkan orang awam supaya tidak mempercayai mitos penggunaan air kencing, minuman cola dan alkohol untuk merawat sengatan ubur-ubur.

” Semua ini tak membantu malah boleh burukkan lagi keadaan,” katanya. – BH

More From Author

Pemandu terlelap punca nahas bas bawa murid Pasti di UPM

Ayah gembira bila doktor maklumkan boleh keluar hospital – Anak Ali XPDC