Farid Kamil menetap 25 hari di banglo tinggal

KUALA LUMPUR: Pelakon, Farid Kamil menetap selama 25 hari di banglo yang ditinggalkan bagi mendalami watak sebagai Ayden dalam filem terbaharunya, Munajjim: Sekutu Iblis.

Itu antara proses unik yang dilakukan Farid setiap kali ingin menjiwai watak yang dilakonkannya dalam sesuatu naskhah.

“Saya dimaklumkan bahawa filem ini adalah diinspirasikan daripada kisah dan kejadian sebenar. Jadi, selepas membaca skrip ini, saya masih tak dapat nak wujudkan rasa takut itu.

“Mungkin kerana ketika saya membesar di Kedah, saya tinggal di rumah nenek saya yang mana, bersebelahan tanah perkuburan. Jadi, perasaan takut itu agak kurang.

“Jadi, antara jalan yang saya ambil adalah dengan tinggal di banglo yang sudah lebih 10 tahun tidak berpenghuni itu, yang juga menjadi set penggambaran filem ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Farid, tidak ada sebarang gangguan berunsur mistik yang mengganggunya sepanjang 25 hari menetap di banglo yang terletak di Kuang itu.

“Pada awalnya, memang agak susah nak tidur sebab dalam bilik tidur yang saya inap, ada lima katil. Saya cuba untuk tidur di setiap katil sehinggalah katil kelima, barulah saya dapat tidur.

“Tak boleh tidur bukanlah sebab gangguan atau apa, tapi sebab nyamuk. Selain itu, saya rasa badan saya seperti ditolak setiap kali saya tidur dan itu juga membuatkan saya bertukar-tukar katil.

“Tapi, tak ada penampakan apa-apa. Kalau ada pun, bunyi di siling yang berpunca daripada tupai,” katanya.

Selain menetap di banglo kosong secara sendirian, Farid juga pernah melakukan proses mendalami watak yang unik ketika membintangi filem Anwar: The Untold Story.

“Sama juga sewaktu saya berlakon filem-filem lain contohnya, filem Anwar: The Untold Story. Saya pergi ke ceramahnya (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Tapi, saya tak pergi dengan keadaan seperti diri sayalah sebab saya berpurdah. Jadi, orang tak perasan pun. Yang perasan kehadiran saya, hanya Mat Sabu (Datuk Seri Mohamad Sabu),” katanya. – BH

More From Author

Sindiket seludup ayam sabung, rokok RM12.3 juta tumpas

Zamsaham ‘lelong’ Kelantan FC RM300,000