KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan dua sindiket penyeludupan membabitkan rokok dan ayam sabung menerusi sembilan serbuan dalam tempoh lima hari berakhir semalam, dengan nilai rampasan keseluruhan RM12.3 juta.
Serbuan bermula 25 Julai lalu itu dijalankan di Tuaran, Beluran, Sandakan dan Tawau, membabitkan kekuatan anggota Task Force Perisikan PGA dan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Hidupan Liar, Jabatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan.
Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Rani Alias, berkata serbuan pertama pada 25 Julai lalu menyaksikan seorang lelaki tempatan ditahan bersama 3.1 juta batang rokok putih dipercayai diseludup dari negara jiran.
“Turut dirampas sebuah treler digunakan untuk mengangkut rokok seludup. Jumlah rampasan termasuk cukai dianggarkan RM5.57 juta.
“Tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk siasatan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya melalui kenyataan.
Dalam serbuan susulan antara 27 Julai hingga semalam pula, lapan individu termasuk dua warga Indonesia dan seorang lelaki Filipina ditahan kerana menternak dan menyimpan ayam sabung tanpa permit sah, dipercayai untuk tujuan pertaruhan.
Dalam operasi ini, PGA merampas 1,637 ayam sabung baka Filipina bernilai RM6.6 juta serta ubat-ubatan dan peralatan lain dianggarkan bernilai RM163,000.
“Semua tangkapan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Hidupan Liar untuk siasatan lanjut mengikut Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Enakmen Hidupan Liar 1997 serta beberapa peruntukan undang-undang lain.
“Secara keseluruhan, sembilan suspek ditahan dalam operasi ini membabitkan enam lelaki tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga Filipina,” katanya.
Abdul Rani berkata, operasi ini dipercayai berjaya memutuskan rangkaian sindiket pengedaran dan penyeludupan rokok serta penyeludupan ayam sabung dari Filipina secara tidak sah di kawasan Pantai Barat dan Timur Sabah. – BH
