JOHOR BAHRU: Empat pegawai penguat kuasa sebuah agensi yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 semasa bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motor, sempadan Johor-Singapura direman enam hari mulai hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap keempat-empat suspek dikeluarkan Majistret Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd. Aliyas selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.
Menurut sumber, semua suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an tu ditahan di pejabat SPRM Johor, semalam.
“Dua suspek utama ditahan oleh Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) semasa pemeriksaan dilakukan di kaunter pada Jumaat dan kemudiannya diserahkan kepada SPRM.
“Susulan penahanan tersebut dua lagi pegawai penguat kuasa ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kegiatan pasport terbang ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Semasa ditahan, sebanyak 14 pasport warga asing, empat unit telefon bimbit milik kedua-dua suspek utama dan wang rasuah kira-kira RM3,000 ditemukan.
Bagi setiap satu pasport yang dicop tanpa kehadiran pemilik, kesemua suspek akan menerima wang rasuah kira-kira RM200.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – Majestic
