Derma darah waktu malam dapat sambutan

KUALA NERUS: Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bersedia menganjurkan proses menderma darah pada waktu malam.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata proses menderma darah waktu malam sering dilakukan pada bulan Ramadan dan mendapat sambutan orang ramai.

Katanya, proses pengambilan darah pada waktu itu di bulan Ramadan dianjurkan jawatankuasa masjid dan surau dilakukan selepas selesai solat sunat tarawih.

“Sambutan diberikan orang ramai sangat menggalakkan walaupun proses pengambilan darah dilakukan pada waktu malam.

“Kita dapati darah yang didermakan orang ramai pada waktu ini tiada perbezaan dengan proses pendermaan pada siang hari,” katanya kepada media semalam.

Difahamkan, Jabatan Perubatan Transfusi HSNZ adalah yang pertama melaksanakan kempen menderma darah pada waktu malam.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, pihaknya turut mendapat permintaan untuk proses menderma darah pada waktu malam daripada pengusaha pasar raya.

“Kita bersedia memenuhi permintaan daripada agensi kerajaan, pihak swasta dan pengurusan pasar raya bagi melaksanakan proses derma darah pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai bekalan darah, Dr Kasemani berkata, jumlah kutipan darah diperoleh sepanjang tahun lalu adalah sebanyak 26,449 pek yang setiap satunya mengandungi 450 mililiter (ml).

“Sebanyak 21,459 pek diperoleh daripada Jabatan Perubatan Transfusi HSNZ, manakala 4,990 pek daripada Hospital Kemaman (HK). Kutipan darah sehingga bulan lalu sebanyak 13,000 pek, termasuk diperoleh daripada proses pendermaan darah waktu malam.

“Kutipan darah diperoleh memberi manfaat dan berjaya menyelamatkan nyawa serta memberi kelangsungan hidup kepada lebih 30,000 pesakit di seluruh Terengganu,” katanya. – BH

More From Author

Pegawai tentera maut nahas dengan lori simen

Fenomena Aphelion, bumi kini jauh dari matahari