Nick Adams jadi Duta AS: Kabinet belum terima memorandum Wisma Putra – Fahmi

PUTRAJAYA: Kabinet masih belum lagi menerima memorandum dari Wisma Putra berhubung pelantikan pengulas konservatif yang juga penulis, Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) yang baharu ke Malaysia.

Mengulas bantahan pelbagai pihak terhadap pelantikan Adams, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata secara kebiasaannya, Jemaah Menteri akan menerima memorandum daripada Wisma Putra mengenai mana-mana pelantikan duta ataupun perwakilan asing yang baharu.

“Waktu ini perkara itu belum lagi dibawa ke perhatian Jemaah Menteri. Mungkin selepas kita ada maklum balas yang terkini. Tapi waktu ini belum lagi sampai ke Jemaah Menteri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Sebagai Anggota Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia, di kementeriannya, hari ini.

Justeru, beliau yang juga Menteri Komunikasi, berkata sebarang keputusan kerajaan berhubung pelantikan Adams sebagai Duta Besar ke Malaysia perlu menunggu mesyuarat Kabinet.

Pengumuman Presiden Donald Trump sebelum ini mengenai pencalonan Adams yang juga pengulas konservatif dan penulis mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk ahli politik negara ini.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan Adams sebagai seorang nasionalis luar biasa serta usahawan yang sangat berjaya, sambil memuji komitmennya terhadap apa yang digelarnya sebagai ‘Nilai Keunggulan Amerika’. – BH

More From Author

Gara-gara langgar tayar lori tercabut, penunggang motosikal cedera

Bot pengangkutan utama urus jenazah di gugusan pulau