SEPANG: Seorang penunggang motosikal cedera ringan selepas melanggar sebiji tayar lori yang dipercayai tiba-tiba tergolek ke laluan utama ketika kerja menukar tayar sedang dijalankan di tepi jalan, hari ini.
Difahamkan, insiden berkenaan berlaku apabila sebuah lori yang rosak berhenti di bahu jalan untuk menukar tayar, namun salah satu tayar didakwa tidak dipasang dengan betul sebelum ia tercabut lalu bergolek ke laluan kenderaan lain.
Menerusi sebuah video berdurasi 58 saat yang dimuatnaik Facebook Sepang Viral, beberapa kenderaan lain sempat mengelak tayar tersebut, namun penunggang motosikal malang itu tidak sempat menekan brek dan merempuh tayar berkenaan.
Situasi itu turut mengundang kemarahan pengguna jalan raya yang menyifatkan kecuaian seperti itu boleh mengancam nyawa.
“Buat laporan polis. Lantik peguam. Saman syarikat pengangkutan. Claim (tuntut) segalanya permasalahan. Semoga diberi kesembuhan dan sihat seperti sediakala serta dipermudahkan segala urusan mangsa,” kata Haris Fadilah.
“Kejadian macam ini tak patut berlaku. Jangan main-main dengan nyawa orang. Orang lain ada anak bini. Harap pihak berkuasa ambil tindakan tegas dan kenakan hukuman lebih berat,” kata seorang pengguna laman sosial. – KOSMO! ONLINE
