TUMPAT: Di sebalik kesibukan lebih 100 bot yang bertali arus membawa penumpang termasuk pelajar sekolah di gugusan pulau di sini, bot berkenaan juga menjadi pengangkutan utama membawa jenazah setiap kali berlaku kematian di pulau berkenaan.
Gugusan pulau termasuk Pulau Seratus, Pulau Tokan, Pulau Suri, Pulau Beluru dan Kampung Teluk Renjuna didiami lebih 3,000 penduduk.
Dalam gugusan pulau berkenaan, hanya terdapat satu tanah perkuburan iaitu di Kampung Teluk Renjuna yang dibuka sejak dua tahun lalu dan sehingga kini menempatkan hampir 20 kubur memandangkan kebanyakan penduduk mahu mengebumikan keluarga masing-masing di luar kawasan pulau.
Hampir sebahagian besar kematian yang berlaku pada waktu petang, jenazah hanya dikebumikan pada keesokannya hari memandangkan proses urusan sukar pada waktu malam selain dibimbangi berlaku kejadian tidak diingini.
Penduduk yang juga pengusaha bot, Abdullah Ismail, 55, berkata jika terdapat kematian, jenazah akan dibawa menggunakan bot.
“Kebanyakan penduduk di sini walaupun tinggal dalam gugusan pulau, namun mereka memilih untuk mengebumikan keluarga masing-masing di luar kawasan pulau.
“Ini kerana mereka mahu ditempatkan berdekatan keluarga mereka selain lebih mudah kubur mereka untuk diziarahi berbanding dikebumikan dalam kawasan pulau,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, keluarganya yang meninggal dunia dikebumikan di Kampung Kedai Buloh dan Kampung Cat iaitu di luar kawasan kawasan pulau.
“Untuk membawa keluar jenazah perjalanan menaiki bot mengambil masa kira-kira 10 minit dan pemilik bot kebanyakannya mengenakan caj RM50 hingga RM60 bagi urusan membawa jenazah,” katanya.
Penduduk dan pengusaha bot dari Pulai Seratus,Mohd Adly Rahman, 54, berkata dia sendiri mempunyai pengalaman kira-kira lima kali membawa jenazah.
Katanya, lebih mencabar jika membawa jenazah pada waktu malam adalah ketika air cetek kerana bot tidak dapat rapat ke jeti.
“Walaupun agak mencabar, kami sebagai penduduk di kawasan pulau ini sudah sebati dengan situasi seperti ini,” katanya. – BH
