KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Md Helmi Azman bertekad mengekalkan momentum kemenangan apabila beraksi di Pusingan Ketiga Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Twin Ring Motegi, Jepun hujung minggu ini.
Helmi yang beraksi bersama Idemitsu Honda Racing Malaysia meraih kemenangan dalam Perlumbaan 2 kelas SS600 di Litar Antarabangsa Sepang bulan lalu, sekali gus kembali mengisi kedudukan kelompok tiga teratas keseluruhan.
Menurut pelumba kelahiran Selangor itu, dia semakin yakin dengan kemampuan jentera Honda CBR600RR untuk memberi saingan.
“Begitupun, kami masih perlu menambah baik prestasi di selekoh, lebih-lebih lagi apabila pesaing memiliki kelebihan di laluan lurus. Kami juga perlu menambah kelajuan ketika keluar dari selekoh untuk mengejar lawan.
“Ia pasti sesuatu yang ideal jika kami mempunyai kelajuan yang lebih baik di laluan lurus,” katanya.
Katanya, persaingan musim ini jauh lebih sengit dan menuntut konsistensi tinggi untuk mencapai sasaran podium pada setiap pusingan.
“Nasib juga memainkan peranan, tetapi apa yang lebih penting mempunyai pemikiran yang betul dan kekal fokus. Dunia perlumbaan ini kejam, ada hari kita tersenyum, ada hari kita kecewa,” katanya.
Selepas dua pusingan – Thailand dan Malaysia – pelumba Indonesia, Adenanta Putra (Astra Honda Racing Team) mendahului carta dengan 66 mata diikuti pelumba Thailand, Anupab Sarmoon (63) dan Helmi (57). – BH
