JOHOR BAHRU: Dua daripada lima kru helikopter AS355N yang terhempas ke dalam Sungai Pulai, Gelang Patah, dekat sini pagi tadi dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, mereka kini sedang dirawat dan diberikan bantuan pernafasan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Menurutnya, tiga kru lagi berada dalam keadaan stabil.

“Daripada lima kru holikopter itu, dua agak kritikal yang menyebabkan mereka memerlukan bantuan pernafasan, manakala yang lain dalam keadaan stabil.
“Alhamdulillah, dengan pertolongan bantuan doktor-doktor pakar yang ada di HSA ini, saya percaya kita dapat membuat yang terbaiklah untuk mereka,” katanya ketika ditemui selepas melawat lima kru helikopter yang terhempas di Unit Kecemasan HSA, di sini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar.
Terdahulu, media melaporkan sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas ke dalam Sungai Pulai ketika menyertai
Latih Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura 2025 (MITSATOM 2025).
Kejadian pada pukul 10.15 pagi itu berlaku berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jalan Cabang, Pekajang, Gelang Patah.
Helikopter tersebut berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi.
Mohd. Khalid berkata, dua mangsa adalah pegawai kanan, manakala tiga anggota polis termasuk juruterbang dari pasukan gerakan udara PDRM, Bukit Aman dan anggota Balai Polis Tanjung Kupang.
Katanya, PDRM akan membantu sebaik mungkin dari aspek kebajikan, termasuk keluarga mangsa.
Ditanya sama ada helikopter jenis AS355N milik PDRM itu merupakan aset lama, beliau berkata, insiden yang berlaku adalah di luar kawalan.
“Lama tak menjadi masalah kalau kita dapat jaga dan selenggara dengan baik. Bagaimanapun (kemalangan) itu sesuatu yang di luar kawalan kita.
“Kita akan serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat punca-punca yang berlakunya perkara ini. Kita akan cuba yang terbaik bukan sahaja untuk PDRM, malah untuk semua,” katanya. – Majestic
