KUALA LUMPUR: Adakah skuad Harimau Malaya sudah boleh mendapatkan khidmat penggempur berbisa, Bergson da Silva khususnya untuk aksi Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 bermula hujung bulan depan?
Persoalan itu timbul selepas penyerang dari Brazil berkenaan didakwa sebagai pemain Malaysia seperti yang dilaporkan oleh pasukan Liga Satu, Cardiff City menerusi laman sesawangnya, sebelum ini.
Menerusi maklumat praperlawanan yang menampilkan pertembungan dua pasukan itu, Cardiff City menyenaraikan penyerang berusia 34 tahun itu sebagai antara pemain yang perlu diberikan perhatian oleh pasukan terbabit.
“Penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva yang kini mewakili skuad kebangsaan Malaysia memecahkan rekod jaringan 32 gol pada musim lalu untuk menjadi pemain pertama meledak lebih 30 gol semusim dalam liga.
“Pemain berusia 34 tahun itu lebih banyak beraksi di Brazil sebelum berhijrah ke JDT dan membantu pasukan itu dari segi pengalaman dan ancaman ketika menyerang.
Pada pertembungan di pramusim yang berlangsung di Pinatar Arena itu, skuad bimbingan Xisco Munoz berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Cardiff City 2-2.
Cardiff City mendahului menerusi jaringan David Turnbull di minit ke-48 sebelum Jairo da Silva mengikat kedudukan pada minit ke-59.
Cardiff yang dimiliki taikun dari Malaysia, Tan Sri Vincent Tan kemudian kembali mendahului menerusi Rubin Colwill (m-62) sebelum Oscar Arribas memastikan JDT mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan pramusim dengan gol penyamaan pada masa kecederaan.
Skuad Harimau Selatan sebelum ini membelasah Real Murcia Imperial 4-0 disusuli menang 1-0 ke atas kelab yang berpangkalan di Elche, Costa City.
Selepas Cardiff Cirty, mereka akan berdepan dua lagi pasukan dari Sepanyol, Levante UD (12 Julai) dan Valencia Mestalla (14 Julai).
Sementara itu, tiga lagi aksi mereka berikutnya berdepan kelab Arab – dua dari Qatar, Al Rayyan SC (16 Julai) dan Al Arabi SC (19 Julai) sebelum menutup aksi pramusim di Alicante, Sepanyol menentang kelab Arab Saudi, Riyadh FC (21 Julai). – BH
