KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berterima kasih kepada semua pihak yang mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran ke-100 kepadanya.
Dr Mahathir menerusi Podcast Dr. M Episod 10 yang disiarkan di Facebook rasminya secara berseloroh berkata, mencapai usia sebegini agak ‘menakutkan’ sehingga beliau terjaga agak awal pagi tadi.
“Saya mendengar banyak ucapan selamat hari kelahiran sempena yang ke-100, saya mahu ucapkan terima kasih kepada mereka yang hantar kek, bunga dan surat.
“Anda tahu mencapai usia 100 tahun agak ‘menakutkan’, saya bangun awal pagi ini…saya terjaga pukul 5 pagi namun hari ini seperti hari biasa yang lain, normal,” katanya, hari ini.
Dr Mahathir iaitu Perdana Menteri Malaysia paling lama berkhidmat mencapai usia 100 tahun hari ini.
Anak bongsu daripada sembilan adik-beradik itu dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah.
Beliau menerajui kerajaan Barisan Nasional dari tahun 1981 hingga 2003 dan memegang jawatan Perdana Menteri sekali lagi dari Mei 2018 hingga Februari 2020 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.
Dikenali sebagai ‘Bapa Pemodenan’ pelbagai mercu tanda berjaya dibina di bawah pentadbiran beliau antaranya Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dr Mahathir turut mewujudkan Proton Holdings Bhd, selain memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur sehingga Malaysia digelar sebagai Harimau Asia.
Beliau juga berfikiran jauh selepas berjaya mengharungi krisis kewangan Asia, memilih langkah kawalan modal dan menambat ringgit serta tidak meminta bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa. – Majestic