MUAR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini atas tiga pertuduhan membunuh ibu, bapa dan anak saudaranya di Pagoh, Ogos tahun lalu.
Azman Mohamed Nor, 48, yang dibawa menggunakan kerusi roda akibat menghidapi penyakit saraf membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Suria Kumar DJ Paul.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa membunuh ibu dan bapanya, Ara Abd Hamid, 76, dan Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, serta anak saudaranya, Noradriana Nor Hasyim, 11, antara pukul 1 hingga 3 pagi di sebuah rumah di Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, Pagoh, 9 Ogos 2024.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaie, manakala Azman tidak diwakili peguam bela.
Nur Aqiilah memohon suatu tarikh baru bagi pengurusan kes memandangkan beberapa dokumen termasuk gambar tempat kejadian yang belum lengkap sepenuhnya.
Mahkamah menetapkan 27 Ogos ini sebagai twrikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen serta lantikan peguam bela tertuduh.
Azman kini sedang menjalani hukuman penjara sembilan tahun dan denda RM5,000 atas pertuduhan mencederakan seorang lagi anak saudaranya.
Dalam kejadian menghayat hati itu, Ara dan Mohamed Nor ditemukan rentung dalam rumah pusaka yang terbakar, manakala Noradriana meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian muka, dipercayai dipukul dengan objek keras.
Pada awalnya, kematian tiga beranak itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun kemudiannya menjadi kes bunuh susulan penemuan beberapa kesan kecederaan pada mangsa. – Majestic
