KUALA SELANGOR: Seorang bayi lelaki ditemui dalam bungkusan plastik di tepi jalan berhampiran Masjid Jamiul Huda, Kampung Api-api, Bukit Rotan, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata bayi itu berusia kira-kira seminggu, matang dan cukup sifat serta memiliki berat 2.135 kilogram.
“Tali pusatnya juga dalam keadaan sempurna. Siasatan awal mendapati orang awam menjumpai bayi malang itu di dalam beg plastik,” katanya katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azaharudin berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu pada jam 9.11 malam.
Katanya, bayi itu kini berada di Hospital Tanjong Karang untuk pemeriksaan lanjut.
“Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya.
Azaharudin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Siti Mazliah Azizi (017-6649100). – BH
