PM akui GST efisien, tapi…

PUTRAJAYA: Kerajaan mengakui Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) merupakan antara sistem percukaian yang efisien dan telus namun pelaksanaannya semula perlu mengambil masa yang sesuai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia perlu ditangguhkan buat sementara waktu kerana pendapatan rakyat ketika ini masih rendah dan belum mencapai tahap wajar untuk pelaksanaan sistem percukaian itu.

Beliau memberitahu, tujuan utama kerajaan adalah tidak mahu memperkenalkan cukai yang menyusahkan golongan berpendapatan rendah.

“Ketika menjadi Menteri Kewangan dulu, saya masih ingat jawapan saya di Parlimen bahawa GST itu adalah sistem percukaian yang antara efisien dan telus.

“Dan masa itu saya Menteri Kewangan, saya terpaksa tangguhkan kerana ambang pendapatan rakyat itu terlalu rendah. Mungkin ada tidak setuju dan berbeza pendapat masa itu.

“Tapi GST itu menyeluruh, senang dan efisen pelaksanaan tetapi biarlah pendapatan rakyat naik dahulu. Katalah mininum gaji RM4,000, mungkin masa itu kita boleh (laksana).

“Sekarang gaji RM1,700 pun ada,  RM2,000 pun ada. Mungkin saya tidak bijak membuat keputusan ini tetapi niat saya tidak mahu perkenal cukai yang menyusahkan rakyat bawahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penambahbaikan cukai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)  yang berkuat kuasa 1 Julai  ini dilaksanakan secara progresif dan bersasar.

Kata beliau, ini kerana kadar cukai jualan tidak dinaikkan ke atas barangan keperluan asas rakyat sebaliknya memberi ruang fiskal yang lebih luas menyumbang kepada
pembiayaan perkhidmatan kepada rakyat seperti bantuan Sumbangan Asas Rahmah SARA, perlindungan sosial serta mutu prasarana kesihatan, pendidikan, dan pengangkutan awam. – MalaysiaGazette

More From Author

Kadar elektrik adil mulai 1 Julai?

PBB kekalkan Israel dalam senarai hitam kerana pelanggaran serius hak kanak-kanak