KUALA LUMPUR: Syarikat minyak terkemuka, Shell akan menambah pelaburan di Malaysia melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, penambahan pelaburan yang bakal dibuat Shell itu akan mencipta peluang pekerjaan yang berkemahiran tinggi.
Menurutnya, langkah Shell itu dilakukan kerana Sawan yakin terhadap arah tuju negara.
“Pelaburan ini adalah manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi kita yang teguh dan kepimpinan yang jelas.
“Insya-Allah, Malaysia mampu terus melakar masa depan yang makmur dan berdaya saing,” katanya dalam hantaran tersebut.
Perdana Menteri turut memaklumkan, pertemuan itu juga digunakan untuk beliau berkongsi pendekatan strategik Kerajaan MADANI dengan Sawan dan delegasinya.
Katanya, pendekatan strategik Kerajaan MADANI itu juga usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, mampan dan berdaya tahan bukan hanya untuk hari ini tetapi demi generasi mendatang.
“Shell bukan sekadar nama besar dalam dunia tenaga tetapi telah menjadi rakan pelaburan utama negara dan sebahagian daripada perjalanan ekonomi Malaysia sejak sekian lama,” katanya lagi. – MN
