KUALA LUMPUR: Pengaruh Monsun Barat Daya sejak 10 Mei lalu mengakibatkan fenomena cuaca kering dan panas dengan bilangan hari tanpa hujan lebih tinggi dijangka berterusan sehingga September ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata kejadian ribut petir dan hujan lebat masih berlaku dari semasa ke semasa, terutamanya di kawasan Barat Semenanjung, Utara Sarawak dan Barat Sabah pada waktu pagi manakala di kawasan pedalaman Semenanjung, Sarawak dan Sabah pada waktu petang serta malam.
“Fenomena garis badai yang membawa hujan lebat dan angin kencang di Pantai Barat Semenanjung, Utara Sarawak dan Barat Sabah juga boleh berlaku terutamanya pada awal pagi semasa keadaan atmosfera adalah sesuai.
“Untuk tempoh tujuh hari lalu iaitu antara 10 hingga 16 Jun lalu, kebanyakan stesen mencatatkan suhu di bawah 35 darjah celsius kecuali stesen di Batu Gajah, Perak mencatatkan 36.7 darjah celsius pada 15 Jun manakala 36.5 darjah celsius di Limbang pada 13 Jun,” katanya ketika dihubungi BH.
Beliau berkata, bacaan suhu menunjukkan penurunan yang lebih rendah di semua stesen, susulan hujan yang berlaku beberapa hari lalu.
“Buat masa ini, METMalaysia tidak mengeluarkan sebarang amaran cuaca panas, susulan hujan beberapa hari lalu.
“Mengenai keadaan laut di perairan negara pula, kami ada mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter (m) dan angin mencapai 50 kilometer per jam (km/j) di perairan Selat Melaka Utara dan Perairan Phuket berkuatkuasa sehingga Khamis ini (19 Jun),” katanya.
Ditanya berkenaan El Nino, beliau berkata, fenomena itu diramal berada dalam fasa neutral dan keadaan cuaca pula dijangka pada paras purata.
“Menurut agensi yang memantau El Nino Ayunan Selatan (ENSO), fenomena ini diramalkan berada pada fasa neutral sehingga Oktober ini dan semasa fasa ini juga cuaca dijangka pada paras purata.
“Penjelasan terperinci berkenaan jumlah hujan di setiap daerah negara kita untuk tempoh beberapa bulan akan datang ini, boleh merujuk laman web jabatan di https://www.met.gov.my/data/climate/tinjauancuacajangkapanjang.pdf ,” katanya.
Mohd Hisham turut menasihatkan orang ramai supaya minum banyak air dan mengehadkan aktiviti luar semasa panas terik serta memakai pakaian yang sesuai.
“Dalam keadaan cuaca kering dan panas sekarang ini, kerapkan minum air dan tidak melakukan banyak aktiviti di luar, sekaligus perlu memakai pakaian sesuai, bertopi atau berpayung jika berada di luar.
“Selain itu, pembakaran terbuka perlu dielakkan memandangkan ia boleh menyebabkan jerebu dan pencemaran alam sekitar.
“Sebaiknya, orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini yang sahih melalui laman sesawang rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi METMalaysia atau hubungi talian hotline 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,”katanya. – BH
