JDT lepaskan 11 pemain termasuk Syafiq Rahim, Izham Tarmizi

JOHOR BAHRU: Selepas lebih sedekad menabur bakti, pemain veteran, Syafiq Rahim dan Izham Tarmizi meninggalkan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Turut mengikuti jejak Syafiq dan Izham adalah Faizal Marlias yang menyertai skuad Harimau Selatan pada 2015.

Perkara itu dimaklumkan JDT menerusi Facebook rasmi kelab itu, Johor Southern Tigers, hari ini.

Selain bekas pemain kebangsaan itu, turut meninggalkan juara Liga Super 11 musim berturut-turut itu adalah Jordi Amat, Jese Rodriguez, Murilo Henrique, Jonathan Viera, Álvaro Gonzalez, Roque Mesa, Anselmo de Moraes dan Ramadhan Saifullah.

Jese dan Murilo menyertai JDT pada musim lalu, manakala Gonzalez, Viera, Mesa dan Anselmo tidak sampai setahun bersama Harimau Selatan.

“JDT ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain-pemain berikut atas komitmen penuh mereka kepada Harimau Selatan. Kami mengucapkan selamat maju jaya pada masa hadapan dan anda akan sentiasa dikenang sebagai sebahagian daripada Keluarga JDT. Luaskan Kuasamu Johor,” tulis hantaran tersebut.

Setakat ini, JDT telah menandatangani tiga pemain baharu, Ibrahim Manusia, Jairo Da Silva dan Antonio Glauder. bagi memperkuatkan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim 2025-2026.

More From Author

Penyanyi Sheqal meninggal dunia dalam tidur

Kementerian Luar seru rakyat Malaysia keluar dari Iran segera