Kementerian Luar seru rakyat Malaysia keluar dari Iran segera

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Iran diseru meninggalkan negara itu serta-merta susulan situasi keselamatan semakin tegang selepas tindakan agresif dari Israel.

Kementerian Luar memaklumkan, keadaan di Iran kini tidak menentu dan berisiko untuk bertambah buruk tanpa sebarang amaran awal.

“Semua rakyat Malaysia di Iran digesa supaya meninggalkan negara itu dengan segera menggunakan apa jua kaedah yang tersedia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kementerian turut mengesahkan bahawa rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran berada dalam keadaan selamat dan dinasihatkan supaya keluar dari negara itu tanpa berlengah.

“Kedutaan akan terus menyediakan bantuan konsul yang diperlukan bagi memudahkan proses perjalanan mereka. Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan Kementerian,” katanya lagi.

Bagi sebarang kecemasan, rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran di alamat: No. 25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb; nombor telefon: +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606, +98 933 535 2602 atau e-mel: mwtehran@kln.gov.my / mwconsular.teh@gmail.com.

Kementerian Luar turut mengaktifkan Bilik Gerakan bermula hari ini dan ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi kementerian untuk maklumat lanjut di talian +603 8887 4570 atau e-mel: dutyofficer@kln.gov.my. – MN

More From Author

JDT lepaskan 11 pemain termasuk Syafiq Rahim, Izham Tarmizi

Nepal yang bergunung-ganang jadi habitat pilihan harimau bintang salji