16 pasukan sah sertai Liga A1 Semi Pro 2025-2026

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 pasukan mengesahkan penyertaan dalam Liga A1 Semi Pro 2025-2026, dengan menyaksikan penambahan empat pasukan baharu.

Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pasukan tersebut adalah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Guar Syed Alwi (GSA FC), FC Seoul Phoenix dan UM-Damansara United.

Katanya, kesemuanya sebelum ini diberikan kelulusan bersyarat dan perlu melengkapkan beberapa kriteria serta dokumen mengikut tempoh yang diberikan.

Selain itu, katanya, AFL juga mengesahkan penyertaan UM-Damansara United yang sebelum ini diletakkan dalam senarai menunggu bersama Ipoh City FC.

“Bagi Ipoh City FC pula, pasukan berkenaan telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menyertai saingan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, AFL memaklumkan 12 pasukan berjaya mengesahkan penyertaan pada musim depan.

Pasukan berkenaan adalah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC, Kedah FA, Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC, Malaysian University dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA). – MN

More From Author

JDT tarus perkuat skuad, tanda tangan Ibrahim

Lelaki warga emas direman 4 hari bantu siasatan penipuan pakej haji