ISKANDAR PUTERI: Belum reda kejadian kanak-kanak cedera parah diserang lapan anjing liar, dikejutkan pula tindakan seorang lelaki cuba menghalang penguat kuasa menangkap haiwan itu di Lima Kedai di sini hari ini
Lebih mengecewakan, lelaki itu mendakwa salah seekor anjing adalah miliknya dan cuba menghalang penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), sekali gus mencetuskan ketegangan ketika pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad menyifatkan
tindakan sedemikian tidak wajar kerana keselamatan penduduk bukan perkara yang boleh dipandang ringan.
Apatah lagi selepas insiden serangan anjing liar terhadap kanak-kanak berusia tujuh tahun di kawasan sama.
Pandak mempertahankan tindakan MBIP dan menegaskan operasi berkenaan adalah perlu bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat.
“Tindakan menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas bukan sahaja boleh mencetuskan ketegangan, malah berpotensi menggagalkan usaha menangani ancaman terhadap penduduk.
“Saya berjaya memenangkan keadaan tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas mengikuti operasi itu, hari ini.
Tegas pandak, jika benar haiwan berkenaan milik individu terbabit, itu bukan alasan untuk menghalang operasi pihak berkuasa yang bertujuan melindungi keselamatan orang ramai.
“Tindakan mempertahankan haiwan tidak seharusnya mengatasi kepentingan keselamatan awam.
“Sebarang pertikaian perlu diselesaikan melalui saluran yang betul, bukannya dengan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas,” ujarnya.
Setakat ini, difahamkan belum ada laporan polis dibuat berhubung kejadian lelaki berkenaan menghalang operasi penguat kuasa.
Semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera parah selepas diserang lapan anjing ketika bermain di taman permainan berhampiran flat perumahan murah di Lima Kedai, pukul 3 petang.
Mangsa mengalami kecederaan pada mata, leher, kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, untuk mendapatkan rawatan.
Dalam kejadian berasingan pada pukul 6 pagi hari sama, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun turut dilaporkan berdepan dengan kumpulan anjing liar yang dipercayai sama di lokasi berkenaan.
Pandak sebelum ini menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.- MAJESTIC
