KLUANG: Seorang remaja perempuan maut, manakala rakannya cedera apabila motosikal dinaiki mereka hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di Kilometer 33.2, Jalan Kluang-Teck Wah Hing, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 2.30 petang melibatkan motosikal Honda EX5.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku semasa motosikal berkenaan yang ditunggang seorang wanita tempatan berusia 19 tahun bersama-sama rakannya wanita tempatan berusia 18 tahun dalam perjalanan dari Pekan Layang Layang menghala ke Ladang Ulu Remis.
“Semasa tiba di tempat kejadian motosikal tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri lalu melanggar sebatang pokok di tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Penunggang cedera parah pada bahagian leher dan badan, manakala pembonceng cedera ringan pada bahagiaj bahagian kepala dan badan.
Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini dengan ambulans.
“Penunggang motosikal meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi HEBHK pada pukul 4 petang tadi semasa menerima rawatan, manakala pembonceng masih menerima rawatan di hospital sama,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumatbboleh menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerusi talian hotline 07-7784222, 07-7766822 atau direct line tablet dcc 07-7784256, 014-365682.- MAJESTIC
