Lemas: Ayah sedih tak sempat tunaikan permintaan anak

JOHOR BAHRU: “Arwah berubah jadi pendiam sejak akhir-akhir ini. Saya sedih tak sempat belikan mainan robot, Block Kiss kegemarannya.”

Demikian luahan Mohamad Khairudi Setapa, 42, bapa kepada Mohamad Haikal Ramzi, 12, yang ditemukan lemas bersama rakannya, Muhammad Adam Farish Arman, 11, di kawasan empangan di sebauah tapak pembinaan di Jalan Murai 2, Taman Scientex, Pasir Gudang, awal pagi tadi.

Menurutnya anak kedua daripada tiga beradik itu tengah hari semalam keluar rumah untuk bermain dengan rakannya, namun tidak menyangka mereka akan pergi ke lokasi kejadian dengan menunggang basikal.

“Kebiasannya sebelum Maghrib dia akan pulang, namun semalam bila dia tak balik saya terus pergi ke rumah kawan-kawan mencarinya sebelum diberitahu anak saya ke empangan itu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah.

“Sebaik saya sampai di empangan itu, saya nampak basikal anak saya sebelum ahli keluarga saya membuat laporan sebelum pihak bomba datang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan menemukan jasad anak saya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang di sini hari ini.

Anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok di sini menunjukkan perubahan sikap kerana lebih banyak mendiamkan diri sejak akhir-akhir ini.

“Haikal seorang anak yang periang dan sangat rapat dengan kakak dan adiknya, namun saya perasan sejak akhir-akhir ini dia lebih banyak mendiamkan diri.

“Saya reda dengan ketentuan Ilahi. Arwah adalah pinjaman daripada Allah selama 12 tahun untuk saya jaga. Insya-Allah anak abah dunia akhirat,” katanya.

Jenazah kedua-dua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Cahaya Masai, di sini selepas solat Zuhur.

Sementara itu, ahli keluarga Muhammad Adam Faris yang bersekolah di SK Kota Puteri 4 enggan ditemuramah kerana masih bersedih dengan insiden berkenaan.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan 1 Haizrul Rahmad, berkata kedua-dua mangsa ditemukan kira-kira jam 2.12 pagi dan 2.33 pagi pada kedalam dua dan tiga meter dari tebing empangan berkenaan. – MAJESTIC

More From Author

Dua budak dikhuatiri lemas dalam empangan

JDT hampir benam Chelsea, pamer aksi cemerlang