Anwar wajar tangguh PRU-16 jika tak mahu PH kalah

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar tidak mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dalam masa terdekat jika tidak mahu Pakatan Harapan (PH) kalah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menasihatkan supaya penggal PRU-15 ditamatkan sehingga hujung tahun depan dan selepas itu PRU ke-16 boleh diadakan selewatnya sehingga awal 2028.

Menurutnya, PRU16 tidak diadakan susulan kekalahan berturut-turut PH dalam pilihan raya negeri (PRN) di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Justeru, dalam tempoh sebelum diadakan PRU-16 nanti, kerajaan pimpinan Perdana Menteri boleh membaiki prestasi dan kelemahan termasuk membuktikan hasil daripada usaha yang sudah dilakukan sebelum ini.

“Dalam tempoh berbaki 18 bulan lagi (sebelum PRU-16 diadakan) adalah faktor penentu aset (usaha) kerajaan iaitu ekonomi yang membuahkan hasil dan dapat dilihat oleh rakyat.

“Pada masa ini rakyat masih tidak dapat melihat secara langsung kesan kekuatan ringgit Malaysia yang semakin baik dan kadar inflasi rendah negara,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan sebuah sampan kepada sukarelawan skuad bencana dan minum pagi bersama-sama komuniti flat Taman Molek di sini hari ini.

Katanya, jika PRU-16 diadakan dalam masa terdekat, rakyat masih tidak dapat melihat hasil dan hala tuju kerajaan selepas kalah dalam tiga PRN sebelum ini yang dikhuatiri akan terus mempengaruhi mereka terutama dalam pilihan raya berikutnya.

“Ini macam main bola juga. Kalau kalah, kalah, kalah…jadi kalau dah Johor kalah, Negeri Sembilan kalah, nanti kat (PRN) Melaka wallahualamlahkan ya? Nampaknya tak mudah jugakan? Jadi, lebih baik tangguh dulu,” ujar beliau.

Hassan berkata, strategi kempen yang betul juga perlu dilakukan dan bukan seperti dalam PRN Negeri Sembilan apabila cuba memainkan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang dianggap tidak sesuai pada masanya.

“Orang PKR, orang PH marahlah bila saya cakap macam begini. Macam RCI Tabung Haji, kenapa bila nak PRN Negeri Sembilan baru nak dedahkan? Benda tu dah siap bertahun lalu. Jadi, bila dedah waktu nak pilihan raya, dua hari lagi nak ngundi, orang nampak (agenda di sebaliknya), rakyat bukan bodoh. Ini ada udang di sebalik apalah kan. Jadi tak cantiklah.

“Kalau betul-betul benda tu dah ada, bentanglah, apa nak tunggu? Akhirnya siapa, nak jaga Timbalan Perdana Menteri, (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi ke, kepimpinan UMNO yang ada DNAA (keputusan lepas tanpa dibebaskan) ke, apa ya? Akhirnya mereka melawan juga.

“Mereka tikam Anwar dari belakang. Anwar ni baik sangatlah. Dia jaga hati, jangan dedahkan RCI, takut kawan-kawan daripada parti rakan itu. Tapi sudahnya apa jadi? Ha, di Johor macam mana, di Negeri Sembilan macam mana? Jadi, baik hati Anwar tu tak tak berbalaslah,” dakwanya.- MAJESTIC

More From Author

5 melecur, van pekerja terbakar langgar tiang elektrik

689 atlet bawa cabaran Johor ke Sukma Selangor, sasar 45 emas