JOHOR BAHRU: Dua lelaki diburu kerana disyaki meragut ragut rantai leher seorang wanita warga emas di Bandar Baru Permas Jaya, Masai, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Ain Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu pada pukul 6.36 petang.
Kejadian berlaku pukul 5.26 petang ketika mangsa berusia 73 tahun itu sedang berada di hadapan sebuah rumah.
“Mangsa didatangi dua suspek yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna putih dengan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan.
“Suspek yang membonceng motosikal bertindak menarik rantai leher yang dipakai mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian siku kiri serta bengkak di kepala.
“Sehingga kini, kedua-dua suspek masih bebas dan polis sedang giat menjalankan usaha mengesan serta menangkap mereka,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan semasa melakukan atau cuba melakukan rompakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, sebuah video berdurasi 32 saat yang memaparkan kejadian berkenaan tular dalam media sosial.- MAJESTIC
