Seorang lemas, seorang diselamatkan semasa mandi di Sg. Senibong

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala seorang lagi diselamatkan ssmasa mandi di Sungai Senibong berhampiran stesen minyak di Taman Bayu Senibong di sini hari ini.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Saiful Bahari Mahpop berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 3.30 petang.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dan BBP Skudai dikejarkan ke lokasi bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS), sebuah Hilux serta sebuah bot.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati terdapat dua mangsa dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti mandi-manda di sungai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Seorang mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala seorang lagi mangsa masih hilang.

Pasukan bomba kemudian menjalankan penilaian awal sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan kejadian.

Beliau berkata, Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) turut dimaklumkan dan sedang dalam perjalanan ke lokasi bagi membantu operasi SAR.

Operasi membabitkan seramai 17 anggota dan usaha mengesan mangsa yang hilang masih diteruskan.- MAJESTIC

More From Author

Onn Hafiz angkat sumpah Menteri Besar Johor

Onn Hafiz tiba di Istana Bukit Serene