KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengetahui nasibnya esok apabila Mahkamah Persekutuan dijadual menyampaikan keputusan akhir rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya dalam kes membabitkan empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais dijangka menyampaikan keputusan pada pukul 9 pagi.
Keputusan itu sebelum ini dijadualkan pada 30 Jun lalu namun ditangguhkan susulan seorang daripada hakim bercuti sakit.
Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan tersebut. Syed Saddiq berdepan empat pertuduhan membabitkan bersubahat melakukan pecah amanah dana Armada berjumlah RM1 juta, salah guna harta sebanyak RM120,000 serta dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan transaksi RM50,000. – MAJESTIC
