JOHOR BAHRU: Dua lelaki warga China masing-masing didenda RM7,000 dan penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli sindiket penipuan dalam talian berkaitan ‘love sca’ pada pertengahan bulan ini.
Lin Kun Chi, 32, dan Bai Kan Sen, 30, kedua-duanya membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret A. Shaarmini.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama-sama didakwa menjadi pihak kepada satu pakatan jenayah dan bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu cubaan menipu mangsa melalui kaedah ‘love scam’.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Forest City 17, Gelang Patah, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri pukul 12.16 tengah hari pada 15 Julai lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah untuk melakukan kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan, dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, kedua-dua warga China terbabit mohon hukuman diringankan kerana mereka mendakwa ditipu ejen pekerjaan dan mempunyai keluarga di China serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.
Sementara itu, dalam prosiding sama, seramai 18 warga Indonesia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan sama dibacakan ke atas mereka dalam Bahasa Melayu.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin warga rakyat tempatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Syafeeqah Mohd Shariffudin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Ogos ini dan mahkamah akan menghantar surat kepada pihak kedutaan Indonesia sekiranya mahu memberi bantuan guaman.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dalam sidang dilaporkan berkata, seramai 335 individu ditahan hasil serbuan ke atas 32 premis dengan nilai rampasan RM1 juta.
Beliau berkata, serbuan merangkumi 27 unit apartment dan lima unit banglo di Forest City, Iskandar Puteri yang didapati beroperasi sebagai ‘calling centre’ bagi menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.
Terdahulu seramai 159 warga China didakwa di tiga Mahkamah Majistret berasingan di sini semalam atas tuduhan pakat jahat jenayah membabitkan cubaan menipu pelaburan kripto tidak wujud, dua minggu lalu.- MAJESTIC
