Tanpa Sokongan DAP, BN Johor Mampu Dapat Undi Cina

KOTA TINGGI: Pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan bekerjasama dengan DAP dijangka tidak memberi kesan terhadap sokongan dan undi Cina dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana Barisan Nasional (BN) mempunyai parti yang mewakili orang Cina sejak dahulu lagi.

Katanya kenyataan Onn Hafiz itu bukan ditujukan kepada orang Cina, sebaliknya kepada DAP sebagai sebuah parti politik.

“Dia bukannya cakap mengenai bahawa DAP itu Cina dan Cina itu DAP. Dia cakap mengenai DAP sebagai sebuah parti. BN

dari dulu ada Cina sebagai rakan kongsi kita. So, tak timbul (sokongan orang Cina dalam PRN Johor akan terjejas),” katanya selepas merasmikan Program Jiwa Murni Madani Kementah di Sekolah Kebangsaan Johor Kampong di sini hari ini.

Ditanya sama ada ucapan Onn Hafiz selaku Pengurusi BN Johor semasa pelancaran Jentera BN pada Ahad lalu akan menjejaskan peluang gabungan itu untuk mendapat undi Cina.

Terdahulu Onn Hafiz ketika berucap dalam pelancaran Jentera BN memaklumkan, tidak akan duduk semeja dengan DAP sekiranya membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor nanti.

Mengenai Pas yang akan menjalinkan kerjasama politik dengan parti-parti kecil termasuk dengan parti yang akan diumumkan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam PRN Johor, beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan.

“Saya percaya semua parti yang baru atau yang lama akan ambil peluang untuk bertanding bila ada pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri.

“Kita sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, kita mengalu-alukan dan yang penting rakyat. Rakyat perlu bijak, perlu rasional dan memilih parti yang betul-betul boleh mewakili mereka,” katanya.

Ditanya sama ada akan memberi cabaran kepada BN, Mohamed Khaled berkata, BN sudah banyak kali melalui pilihan raya dan sentiasa dalam keadaan sedia.

“Kita juga menerima hakikat, kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kita kalah,” tambah Ahli Parlimen Kota Tinggi itu.- MAJESTIC

More From Author

Dakwa dibuli, murid alami PTSD, hampir lumpuh gara-gara kerusi ditarik rakan

Pas tak tanding solo, bina jajaran politik baharu hadapi PRN Johor