JOHOR BAHRU: Pas Johor tidak akan bertanding solo bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sebaliknya, akan membina jajaran politik baharu bersama-sama beberapa parti lain.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, antaranya melibatkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
“Ini merupakan kerjasama politik dan bukan dalam bentuk gabungan politik kerana itu akan mengambil masa dan tidak sempat ditubuhkan dalam masa sekarang ini.
“Pas akan menggunakan logo sendiri dan yang parti lain pun ikut logo masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pas Johor di Ibu Pejabat Pas Johor, Bandar Baru Uda di sini, malam tadi.
Perbincangan pembahagian kerusi dalam PRN berkenaan masih dilakukan dan akan diputuskan Pas Pusat pada 12 Jun ini.
Ditanya sama ada turut melibatkan perbicangan dengan Barisan Nasional (BN) Johor, beliau berkata, secara tidak rasmi rundingan tersebut ada dilakukan.
Mengenai jumlah kerusi yang akan Pas tandingi, beliau berkata, ketika ini belum dapat diputuskan kerana perlukan rundingan baharu selepas Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu.
“Sebelum ini menerusi persetujuan dengan Bersatu, Pas pada peringkat awalnya untuk PRN ini mendapat 15 kerusi dan beberapa kerusi tambahan. Jumlah ini sama dengan bilangan yang diperoleh Pas pada PRN Johor terdahulu.
“Namun apabila Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu, kita akan runding semula perkara ini,” ujar beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor.
Ditanya sekiranya Pas bertembung kerusi dengan Bersatu pada kali ini, beliau berkata, perkara tersebut tidak dapat dielakkan dan Pas akan meletakkan calonnya.- MAJESTIC
