Lagi kes pemandu Singapura isi RON95, KPDN sita kereta

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu Singapura menjadi individu pertama ditahan di negeri ini kerana membeli petrol RON95 susulan larangan terbaharu berkuat kuasa 1 April lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata,

kejadian dikesan ketika pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan statik di sebuah stesen minyak di bandar raya ini.

“Hasil pemerhatian dalam operasi pukul 10 malam tadi mendapati sebuah kenderaan berpendaftaran Singapura mengisi petrol RON95 ke dalam tangki kenderaan.

“Bertindak atas maklumat dan pemerhatian tersebut, pegawai penguat kuasa menahan pemandu kenderaan berkenaan daripada meneruskan pengisian petrol RON95,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lilis Saslinda berkata, pemeriksaan lanjut dijalankan termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak serta resit pembelian dan rakaman percakapan pekerja stesen minyak itu.

Menurutnya, hasil siasatan awal mengesahkan bahawa transaksi tersebut melibatkan petrol RON95.

Susulan itu katanya, pihak KPDN Johor menyita kereta tersebut, rakaman CCTV, salinan resit pembelian dan dokumen berkaitan.

“Suspek lelaki yang berusia 50an itu merupakan pemilik yang memandu kereta Honda Civic tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Tanbahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) atas kesalahan membeli barang kawalan petrol RON95 menggunakan kenderaan berpendaftaran asing.

“KPDN Johor menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh aktiviti penguatkuasaan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan, khususnya melibatkan RON95, demi memastikan subsidi kerajaan terus dimanfaat oleh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Orang ramai juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sebarang bentuk penyelewengan bahan api melalui saluran rasmi KPDN.

Terdahulu media melaporkan pemandu kenderaan berpendaftaran asing yang membeli RON95 bakal berdepan tindakan undang-undang berkuat kuasa 1 April tahun ini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, langkah tersebut merupakan pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada yang sebelum ini hanya meletakkan kesalahan kepada pengusaha stesen minyak.- MAJESTIC

More From Author

24 PATI dicekup dalam serbuan di kedai makan, tayar

Lelaki Vietnam didakwa simpan 1,022 hempedu, 191 lidah ular