BATU PAHAT: Jabatan Imigresen negeri ini menggempur 11 premis perniagaan serta kediaman yang menggaji dan melindungi 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi di sini Selasa lalu.
Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd. Darus berkata, operasi tersebut dijalankan serentak bermula pukul 8 malam melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Cawangan Batu Pahat.
“Kita menyasarkan sektor-sektor perniagaan serta lokasi tumpuan yang dipercayai menggaji dan melindungi warga asing tanpa dokumen yang sah seperti kedai makan, kedai tayar dan dua kediaman.
“Operasi ini memberi fokus kepada premis degil yang masih berani menggaji serta melindungi PATI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati seramai 24 warga asing di tahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dewasa warganegara Bangladesh, dua lelaki dewasa Nepal, tiga lelaki dewasa Myanmar dan dua lelaki dewasa Indonesia.
Katanya, ini termasuk seorang wanita dewasa Vietnam, lima wanita dewasa Myanmar, seorang wanita dewasa Bangladesh, seorang wanita dewasa Indonesia dan dua wanita dewasa Kemboja dipercayai bekerja dan tinggal di premis terbabit.
“Mereka berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 45 tahun. Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Mohd Rusdi berkata, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain itu katanya, sebanyak enam keping borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.
Tambahnya, JIM Johor menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana warga asing yang melanggar syarat pas atau tinggal di negara ini secara haram, termasuk majikan dan pihak yang didapati melindungi, menggaji atau bersuhabat dengan PATI.- MAJESTIC
