Pemuda hilang, usahakan kebun terbiar berhampiran hutan

KOTA TINGGI: Keluarga seorang pemuda yang hilang di kawasan kebun di Jalan Kambau, Kampung Perepat, Tanjung Sedili di sini sejak Isnin lalu buntu dan bimbang dengan keselamatannya.

Ibunya, Azizah Buhari, 52, mendakwa Mohamad Norshafe Mohd. Jamadil, 30, hilang pukul 4.10 petang pada 2 Mac lalu.

Dia yang menetap di Skudai, Johor Bahru dimaklumkan mengenai kehilangan anaknya itu selepas bekas suaminya menghubungi anak lelaki mereka memberitahu Mohamad Norshafe tiada di pondok kebun.

“Mohamad Norshafe disedari hilang selepas ditinggalkan seketika oleh bapanya yang terpaksa bergegas menguruskan pekerja kebun yang kurang sihat.

“Bekas suami beritahu anak sudah tiada di pondok kebun dan hanya tinggal kad pengenalan, kad bank serta dompet miliknya,” katanya ketika dihubungi.

Usaha mencari di sekitar kawasan kebun terus dilakukan dan sudah empat hari mencarinya termasuk bermalam dua hari dalam kebun tetapi masih tidak menemukannya.

Ibu kepada enam anak itu bimbang akan keselamatan anaknya dan dia turut membuat laporan di Balai Polis Sedili di sini dan Balai Polis Skudai.

Kebun tersebut sebelum ini terbiar dan baru sahaja diusahakan semula oleh ahli keluarganya.

“Kawasan belakang kebun itu ada ladang dan hutan tebal, sebab itu kami sangat risau.

“Mohamad Norshafe anak kedua dalam keluarga sebelum ini pernah bekerja sebagai pekerja bengkel, namun sudah berhenti kemudian membantu bapanya menguruskan kebun keluarga,” katanya.

Tambahnya, anaknya berketinggian kira-kira 165 sentimeter, berbadan kurus, botak dan mempunyai sikap seperti kanak-kanak.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau terlihat Mohamad Norshafe diminta menghubungi balai polis berhampiran atau ahli keluarga di talian 011-27746461 (ibu), 010-9327764 (kakak) atau 014-2542354 (adik).- MAJESTIC

More From Author

Johor sasar hasil lebih RM3 bilion – MB

Menu Kelantan jadi pilihan berbuka puasa