Kanak-kanak maut kereta dipandu nenek kemalangan

KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu neneknya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 8.4 Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 1.45 petang melibatkan kereta Perodua Myvi dan Perodua Alza.

“Perodua Myvi dipandu seorang wanita berusia 50 tahun bersama-sama seorang lelaki dewasa berusia 26 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

“Perodua Alza pula dipandu wanita berusia 61 tahun bersama-sama cucu lelakinya yang berusia lapan tahun.

“Semasa kejadian mereka dalam perjalanan dari Temenin menghala ke Kota Tinggi. Perodua Myvi kemudian masuk ke laluan bertentangan bertembung Perodua Alza ,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut kanak-kanak yang duduk di kerusi penumpang belakang MPV mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurut beliau, mangsa kemudian meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi.

Katanya, mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan manakala semua mangsa terlibat dirujuk ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.

Pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh lima tahun, katanya.- MAJESTIC

More From Author

Lelaki pedofilia dijel 18 tahun, 24 sebatan

EcoWorld, JLand Bangunkan Projek RM2 Bilion di Johor