Ladang nanas di Bio Desaru pula terbakar

KOTA TINGGI: Ladang nanas di kawasan Bio Desaru, Pengerang di sini seluas 28 hektar dilaporkan terbakar sejak kelmarin.

Namun difahamkan kebakaran itu melibatkan kawasan ladang yang masih belum ditanam nanas manakala kawasan yang sudah ditanam berkeluasan 44 hektar tidak terjejas.

Ketua Balai Bomba Penyelamat Penawar, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB) Soleh Nasir berkata, setakat ini pihak bomba berjaya memadamkan 16 hektar iaitu 57 peratus daripada keseluruhan kawasan kebakaran.

Jelasnya, usaha tersebut berhasil selepas pihak bomba melakukan teknik kawalan fire break bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.

“Bilik kawalan Balai Bombda dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar terima panggilan penyewa tapak Bio Desaru pada 31 Januari lalu menyatakan berlaku kebakaran.

“Ketika sampai di lokasi didapati benar berlaku kebakaran dianggarkan sudah melibatkan kawasan kira-kira 12 hektar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, teknik fire break dilakukan di penghujung kawasan kebakaran iaitu sempadan dengan hutan Lok Heng menggunakan dua aliran empat pancutan dan pam menggunakan sumber air terbuka saliran parit.

Ujarnya, kerja-kerja pemadaman diteruskan sehingga malam sejak operasi hari pertama namun berdepan kesukaran apabila angin kuat dan sumber air terhad.

Katanya, ini menyebabkan api merebak dengan cepat dan kawalan fire break dikekalkan bagi mengelak kebakaran memasuki kawasan hutan Felda Lok Heng.

Menurutnya, operasi hari kedua iaitu semalam diteruskan dan kebakaran terus merebak dalam kawasan Bio Desaru sahaja dianggarkan 20 hektar.

Bantuan backhoe katanya, dengan mendalamkan parit dilakukan agar takungan air menjadi banyak dan tidak menggangu operasi.

“Hari kedua operasi, pemantuan dari drone dilakukan dan didapati api dapat dikawal (dalam kawasan Bio Desaru) dan kebakaran merebak hanya mengikut jajaran angin.

“Hasil pemantuan lanjut juga didapati terdapat kawasan kebakaran yang bukan kategori gambut telah terpadam, asap tebal hanya di sebahagian kawasan tanah gambut dan tunggul kayu yang masih terbakar,” katanya.

Bagi operasi hari ketiga iaitu hari ini pula katanya, diteruskan dengan kekuatan 12 anggota melibatkan kerja-kerja pemadaman untuk menghalang kebakaran merebak.

“Pemadaman fire break berjaya ditingkatkan daripada 16 kepada 24 hektar. Pemantuan udara menggunakan drone dilakukan dan didapati api kebakaran berkurangan namun terdapat asap masih banyak berikutan terdapat kawasan terbakar mempunyai kayu tunggul dan ada kawasan tanah gambut sekitar 10 ekar,” katanya.

Jelasnya lagi, pemantauan sentiasa dilakukan ekoran kawasan kebakaran hanya kira-kira lima kilometer dari kawasan Felda Lok Heng bagi mengelak api merebak.

Setakat ini kata Soleh, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkenaan asap sampai ke kawasan penempatan penduduk.

“Banyak kawasan sudah terpadam sendiri yang berada di tengah kawasan terjejas. Operasi hari ini masih diteruskan dan keadaan angin masih kuat sehingga setakat ini,” tambahnya.- Majestic

More From Author

Seorang nelayan dikhuatiri lemas, dua bot berlanggar

Amanah jangan jadi penghasut isu tanah Kg. Melayu Majidee, bukan bahan politik murahan – Hairi