JOHOR BAHRU: Wajah seorang duda pucat akibat terkejut semasa membuka pintu bilik hotel di Taman Desa Tebrau di sini apabila penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) muncul untuk melakukan pemeriksaan malam semalam.
JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, serbuan tersebut dilakukan pukul 1.30 pagi, penguat kuasa mengetuk pintu bilik tidak sampai 5 minit sebelum dibuka lelaki berkenaan dengan tidak memakai baju.
“Lelaki itu hanya memakai berseluar jean dan tidak menyangka penguat kuasa yang ketuk pintu. Mungkin dia ingat orang hotel. Keadaan dalam bilik gelap.
“Apabila lampu bilik dibuka didapati seorang wanita sedang baring sambil berselimut atas katil. Dia sedar tetapi masih tidak bangun dari katil.
“Penguat kuasa menegur lelaki itu setelah melihat zip seluar lelaki tersebut terbuka. Dia tersipu malu dan membetulkan zip,” menurut kenyataan tersebut.
JAINJ memaklumkan, pemeriksaan mendapati pakaian lelaki dan wanita terbabit disangkut dalam bilik tersebut.
“Pemeriksaan oleh penguat kuasa wanita mendapati wanita ini tidak berpakaian lansung dalam selimut,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, lelaki berkenaan berstatus duda berumur dan wanita masih belum berkahwin masing-masing berumur 30-an.
Lelaki tinggal di Pontian dan berulang alik setiap hari ke tempat kerja di Johor Bahru namun semalam disebabkan habis kerja lewat dan kepenatan menyebabkannya menyewa bilik di hotel berkenaan.
“Wanita pula ada rumah di Johor Bahru dan duduk menyewa dengan rakan,” jelas kenyataan itu lagi.
Pasangan itu ditangkap atas kesalahan khalwat Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. – Majestic
