Sweet Qismina, Adam Lee nafi rancang buat IVF

KUALA LUMPUR: Pelakon Sweet Qismina menafikan dirinya dan suami, Adam Lee sedang merancang untuk melakukan rawatan kesuburan in-vitro (IVF) bagi mendapatkan cahaya mata.

Sweet, 28, yang juga pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) semalam berkata, dia belum merancang perkara itu memandangkan rumah tangganya baru berusia tiga tahun.

“Saya tak tahu siapa yang komen mengenainya, tapi rata-rata ramai yang bertanya, umpama saya nak buat IVF. Bagaimanapun, saya tak pernah keluarkan sebarang kenyataan mengenai nak buat rawatan itu.

“Mungkin ada yang mencadangkan dan kisah itu menjadi tular. Apa pun, saya tak pernah terfikir nak buat sebab saya dan suami pun baru tiga tahun berumah tangga,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sweet, dia dan Adam menerima setiap rezeki daripada Allah dengan hati terbuka dan memohon doa agar mereka dikurniakan rezeki cahaya mata.

“Kami masih muda dan kami ikut arus dan terima apa adanya. Kalau ada rezeki, ada. Itu semua kerja Allah. Saya gembira dan doakan, mana tahu selepas ini ada zuriat.

“Saya rasa Adam pun tak tahu mengenai perkara itu. Apapun, saya dan suami tak pernah mendapat tekanan dari luar. Kami sangat bersyukur sebab semua orang di sekeliling kami sangat menyokong,” katanya.

Malam tadi, Sweet menerusi lakonannya dalam filem Babah, berjaya mengalahkan empat calon lain dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik iaitu Khatijah Tan, Maya Karin, Nabila Huda dan Datin Sofia Jane.

“Alhamdulillah, syukur. Saya tak pernah terfikir akan kemenangan ini. Perjalanan saya di dalam industri masih panjang dan banyak lagi yang perlu saya terokai,” katanya. – Harian Metro

More From Author

35 maut, lima masih hilang banjir di Vietnam

Sophia Albarakbah serah nasib kepada peminat